MISRATA 26 April – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi
terus menjalankan tugasnya seperti biasa hari ini, sehari selepas pejabatnya
musnah dibom oleh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) manakala
pemberontak di Misrata mendakwa mereka telah berjaya mengusir askar rejim dari
bandar ini.
“Pemimpin kami bekerja seperti biasa di Tripoli,
dia sangat sihat dan mengetuai perjuangan untuk keamanan dan demokrasi di
Libya,” kata jurucakap rejim, Mussa Ibrahim di luar bangunan yang dibom di
pekarangan kediaman rasmi Gaddafi, Bab al-Aziziya.
Gaddafi berada di tempat yang selamat dan
meneruskan perjuangan untuk menyediakan perkhidmatan, makanan, ubat-ubatan dan
bahan bakar untuk rakyat, katanya pada sidang media dihadiri oleh beberapa duta
asing.
Sebuah bilik mesyuarat menghadap pejabat Gaddafi
rosak teruk dalam pengeboman yang digambarkan oleh NATO di Brussels sebagai
‘serangan tepat’ ke atas sebuah pusat komunikasi awal semalam.
Tiga orang terbunuh manakala 45 lagi cedera
termasuk 15 parah dalam serangan udara itu, kata Ibrahim.
Sekurang-kurangnya lima letupan menggegarkan timur
Tripoli malam tadi, kata saksi yang tidak dapat mengenal pasti lokasinya dengan
tepat.
“Kami mendengar tiga letupan kuat dan melihat api
dan kepulan asap dekat kawasan kami,” kata seorang penduduk di Ain Zara, timur
Tripoli.
Pemberontak di Misrata, 215 kilometer ke timur
Tripoli berkata, mereka telah mengusir askar Gaddafi dari bandar itu setelah
dikepung selama lebih tujuh minggu.
Sumber: Utusan Malaysia Online