By : Shahmunzir
Saya ditanya tentang status kata-kata ini yang dikatakan ia sebagai hadith, iaitu:
“Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian dia menyembunyikannya dan dia mati, maka matinya itu adalah syahid.”
Tidak pula saya pernah berjumpa dengan ‘hadith’ ini. Benarkah ia
hadith??? Sekali lihat macam diragui kerana ganjaran mati syahid adalah
antara ganjaran tertinggi di sisi ALLAH. Tidak berpadan dengan usaha
yang kecil itu, iaitu sekadar menahan dari diluah rasa cinta.
Walaupun ia mempunyai maksud yang baik, iaitu supaya insan menahan diri
dari mengikut hawa nafsu perasaan cinta, TETAPI sebagai Muslim, kita
mestilah sentiasa awas tatkala menyebut sesuatu kata-kata yang
disandarkan kepada Rasul yang mulia, Muhammad sallAllahu `alaihi
wasallam. Ini kerana baginda telah memberi amaran:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku)
bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang
lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah
tempat duduknya dalam neraka.” (HR al-Bukhari, Muslim dan selain
mereka)
Saya membuat carian di internet berkenaan perkara ini dan terjumpa tiga
pautan yang saya rasa boleh membantu menjawab persoalan ini:
1. Dr Asri, di dalam artikel beliau yang bertajuk Jangan Bohong Guna Nama Rasulullah,
ada menyentuh kata-kata di atas. Ia adalah ‘hadith’ palsu. Bermakna
ia bukan kata-kata Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang mulia,
tetapi ia satu kata-kata yang direka lantas disandarkan kepada Baginda.
Saya memetik kata-kata dari artikel beliau:
Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah:
Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya.
Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”.
Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj: Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya – disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang).
Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut: Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari: Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”.
Daripada kenyataan di atas, dapat kita fahami bahawa kata-kata di atas
adalah bukan kata-kata Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Menyebutnya sebagai kata-kata Baginda, boleh dihukum dengan ta`zir.
2. Di dalam laman badurfillah.multiply.com,
penulis ada menukilkan kata-kata Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah dalam
kitabnya Thibbun Nabawi (Pengubatan Nabi) dalam Bab Petunjuk Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam untuk Mengatasi Penyakit Asmara:
“Jangan tertipu oleh hadits palsu yang mengatas
namakan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Suwaid bin Said, dari Ali
bin Mushir, dari Abu Yahya Al-Qattat, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas,
dari Nabi, diriwayatkan pula dari Aisyah dari Nabi. Diriwayatkan oleh
Azzubair bin Bakr, dari Abdul Malik bin Abdul Aziz bin Majisyun, dari
Abdul Aziz bin Hazim, dari Ibnu Abi Najih, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas
dari Nabi bahwa beliau bersabda, “Barang siapa jatuh cinta, lalu menjaga kesuciannya, lalu ia meninggal dunia, maka ia mati syahid.” dan dalam riwayat lain disebutkan, “Barang
siapa jatuh cinta (kasmaran), lalu ia menyembunyikan perasaannya,
menjaga diri dan bersabar, akan Allah ampuni dosa-dosanya dan akan Allah
masukkan ke dalam Surga-Nya.”
Justeru, dengan adanya tegahan ini, sewajarnya kita jangan tertipu
dengan mengatakan ia kata-kata Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Menurut Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, kata-kata bertanda merah di atas
di awal artikel ini ialah bukan hadith. Ia ‘hadith’ palsu!
3. Di dalam laman web hatinurani86.blogspot.com, penulis menulis seperti berikut:
Matan Hadis
Sengaja saya takhrijkan hadis ini kerana ramainya mereka mengunakan hadis ini dengan menggangap bahawa hadis ini boleh di amalkan.
من عشق فكتم وعف فمات فهو شهيد
Maksudnya : “Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian dia menyembunyikannya dan dia mati, maka matinya itu adalah syahid.”
Kitab Yang Meriwayatkan Hadis Ini
Di riwayatkan oleh al-Kharaity di dalam Kitab A`tilal al-Qulub Bab Man A`fa Fi A`syqihi, hadis no 103.Khatib al-Bagdadi di dalam Tarikh Bagdad, juz 11 m/s 297 no. 6079.
Masalah Hadis Ini
Hadis ini terputus sanadnya pada عبد الله بن عبد الملك الماجشون, yang mana menjadikan hadis ini tidak mencukupi syarat sahih dan hasan.
Hukum hadis
Palsu ( Jamek Soghir wa az-Ziyadah, jil 1 m/s 1248, no 12473 ).
Hadis ini adalah sebahagian daripada hadis golongan sufi yang mungkar ( Salasilah Sohehah, jil 19 m/s 67 ).
Dengan tersenarainya 3 sumber di atas, saya rasa cukuplah ia menjadi panduan bahawa kita tidak wajar mengungkap kata-kata “Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian dia menyembunyikannya dan dia mati, maka matinya itu adalah syahid” sebagai hadith iaitu disandarkan ia kepada kata-kata Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Hatta, kalau tak disandarkan kepada
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pun tidak patut kerana
menjanjikan sesuatu amalan dengan ganjaran tertentu mestilah disandarkan
dengan nas yang sahih. Justeru, tinggalkanlah kata-kata ini. Banyak
lagi yang boleh disentuh jika mahu bercakap soal cinta. Antaranya, ada
saya sentuh di dalam artikel ini:
Semoga ALLAH memelihara kita semua dengan hidayah da taufiq, amin…
WAllahu Ta`ala A`lam.
Dari : www.muzir.wordpress.com
No comments:
Post a Comment