Muqaddimah
Tanggal
25 Disember merupakan tarikh istimewa
bagi penganut agama kristian di seluruh dunia. Pada hari tersebut, para
penganut agama ini akan meraikan perayaan Krismas sempena memperingati
kelahiran Nabi Isa mengikut kepercayaan mereka. Menurut pegangan agama
kristian, Nabi Isa merupakan anak kepada Allah S.W.T yang mengorbankan dirinya
bagi menebus dosa warisan yang diturunkan dari satu generasi kepada generasi
yang lain akibat perbuatan Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga. Namun
berbeza pula kita sebagai seorang muslim yang dikurniakan dua perayaan besar
iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha tanpa mengingkari Nabi Isa adalah sebagai
utusan, bukannya anak Allah S.W.T.
Nabi Isa Tidak Disalib
Kelahiran
Nabi Isa a.s. merupakan satu peristiwa istimewa yang telah tertulis di dalam
Al-Quran. Kelahiran amat yang luar biasa apabila ibunya, Maryam terpilih untuk
dihidupkan roh seorang insan agung di dalam rahimnya dengan izin Allah S.W.T.
walaupun dirinya ketika itu belum pernah berkahwin. Malah, Maryam berasa sangat
hairan apabila menerima khabar ini. Bahkan beliau tidak pernah langsung disentuh
oleh mana-mana lelaki. Tetapi, ia dijawab dengan ayat Al-Quran yang menyatakan
bahawa Allah S.W.T. berkuasa ke atas segala sesuatu. Firman-Nya :
Maksudnya : (ingatlah) ketika malaikat berkata:
"Wahai Maryam! bahawasanya Allah memberikan khabar Yang mengembirakanmu,
Dengan (mengurniakan seorang anak Yang Engkau akan kandungkan semata-mata
dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam,
seorang Yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang
Yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata
kepada orang ramai semasa ia masih kecil Dalam buaian, dan semasa ia dewasa,
dan ia adalah dari orang-orang Yang soleh. Maryam berkata:" Wahai Tuhanku!
Bagaimanakah Aku akan beroleh seorang anak, padahal Aku tidak pernah disentuh
oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya,
Allah menjadikan apa Yang dikehendakiNya; apabila ia berkehendak melaksanakan
sesuatu perkara, maka ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah Engkau ', lalu
menjadilah ia." (Surah Ali ‘Imran: 45-47)
Suatu
perkara pelik berlaku kepada Nabi Isa a.s. apabila mampu berkata-kata ketika
masih kecil dan sungguh mengejutkan penduduk kawasan setempat pada waktu itu.
Perkara ini ada disebutkan dalam ayat yang telah dibacakan sebelum ini. Tatkala
ibunya Maryam ditohmah masyarakat berikutan peristiwa kelahiran seorang bayi
yang tidak berbapa sedangkan mereka mengetahui bahawa Maryam masih seorang
gadis sunti yang belum pernah berkahwin, Allah mendatangkan pembantu melalui
anaknya sendiri yang membela ibunya. Nabi Isa a.s. berkata :
Maksudnya : “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia
memberiku al-Kitab (injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia
menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia
memerintahkan kepadaku (mendirikan) salat dan (menunaikan) zakat selama aku
hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikanku seorang yang
sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadahu, pada hari
aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup
kembali. ” (Surah. Maryam: 30-33)
Begitulah
kisah kelahiran agung yang cukup luar biasa di dalam Al-Quran yang jelas
bertentangan dengan kepercayaan masyarakat Kristian yang mengangkat baginda
sebagai tuhan mereka. Malah baginda sendiri menolak dan menafikan sekerasnya
kepercayaan orang kafir ini seperti yang terakam di dalam Al-Quran :
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman:
"Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah
aku dan ibuku dua orang Tuhan selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha suci Engkau,
tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya).Jika aku
pernah mengatakan Maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan
aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha
mengetahui perkara yang ghaib-ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka
kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya Yaitu:
"Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi
terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau
menangkatku, Engkau-lah yang mengawasi mereka, dan Engkau adalah Maha
Menyaksikan atas segala sesuatu. (Surah Al-Ma’idah: 116-117)
Bukan itu
sahaja, malah baginda sebenarnya tidak pernah dibunuh atau disalib tetapi hanya
diserupakan muka baginda dengan salah seorang pengikutnya. Dakwaan berani ini
telah direka-reka dan dinisbahkan kepada baginda serta menjadi anutan penganut
agama ini sehingga ke hari ini. Perkara sebenar yang berlaku kepada baginda
ialah diangkat ke langit sebelum akan diturunkan semula sebagai antara tanda
besar hari kiamat. Firman Allah S.W.T. :
Maksudnya : dan juga (disebabkan) dakwaan mereka
Dengan mengatakan: "Sesungguhnya Kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni
Maryam, Rasul Allah". padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak
memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang
Yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). dan Sesungguhnya orang-orang Yang
telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada Dalam
keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). tiada sesuatu
pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan
semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya Dengan yakin. bahkan Allah telah
mengangkat Nabi Isa kepadanya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana. (Surah An-Nisaa’ ayat 157-158).
Kebangkitan semula Nabi Isa a.s. pula ada
diceritakan pada beberapa hadith Nabi S.A.W., antaranya :
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami al-Walid
bin Syuja' dan Harun bin Abdullah serta Hajjaj bin asy-Sya'ir mereka berkata,
telah menceritakan kepada kami Hajjaj -yaitu Ibnu Muhammad- dari Ibnu Juraij
dia berkata, " Abu az-Zubair telah mengabarkan kepadaku, bahwa ia
mendengar Jabir bin Abdullah berkata, "Saya mendengar Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Akan senantiasa ada dari umatku
sekelompok orang yang berperang di atas kebenaran, mereka akan selalu nampak
hingga hari kiamat." Beliau bersabda lagi: "Lalu turunlah Isa putra
Maryam, lalu pemimpin mereka berkata, 'Kemarilah, pimpinlah kami shalat."
Isa lalu berkata, 'Tidak, sesungguhnya sebagaian kalian atas sebagian yang lain
adalah pemimpin, sebagai bentuk pemuliaan Allah terhadap umat ini'."
(Hadith ke-225 riwayat Imam Muslim)
Allah
S.W.T. turut menegaskan didalam kitabNya bahawa Nabi Isa a.s. hanyalah manusia
biasa yang diangkat menjadi seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya dan
bukanlah tuhan seperti yang diagung-agungkan oleh para penganut agama Kristian.
Firman Allah :
Maksudnya:
“Tidaklah Al-Masih putera Maryam itu melainkan hanyalah seorang Rasul
yang mana telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang
sangat benar. Kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami
menjelaskan kepada mereka (ahli Kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian
perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami
itu). (Surah Al-Ma’idah: 75)
Hukum Sambutan Hari Krimas Oleh Umat Islam
Rata-rata
masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai
penganut berbeza agama. Manakala dalam setiap agama pula mempunyai
tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati sesuatu peristiwa.
Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan beberapa buah negara di
Timur Tengah.
“Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun
kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada
perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri
Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia.
Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati
dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua
perkara ; Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan kedua : pengorbanan Jesus yang
disalib demi menebus dosa manusia.
Persoalan : Adakah perayaan ini boleh disambut oleh
orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan
kepada masyarakat Kristian?
Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh
dibahagikan kepada dua :
1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang
Kafir :
Ulamak
bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja
bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan
Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat islam hanya mempunyai dua
perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.
Imam ibnu
Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan
perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan
orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan
oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat
Imam Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama
orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya
kemurkaan diturunkan kepada mereka”).
Imam
an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada
bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan
tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan
orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.
Antara
pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah
berdasarkan beberapa dalil antaranya :
• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir.
Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda S.A.W. yang berbunyi :
حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ ثَابِتٍ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي مُنِيبٍ الْجُرَشِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Utsman
bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr berkata,
telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata, telah
menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu
Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia bagian dari
mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan
Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512 riwayat Imam
Abu Daud)
• Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut
merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah
S.W.T. berfirman :
Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman!
janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman
rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya Yang lain;
dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka
Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah
tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim. (Surah Al-Maidah ayat
51)
Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman!
janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, Dengan
cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin)
Dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra Yang ada di antara kamu Dengan
mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) Yang sampai
kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga
mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah
Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk
berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang
faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra Dengan mereka secara rahsia,
sedang Aku amat mengetahui akan apa Yang kamu rahsiakan dan apa Yang kamu
zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu Yang melakukan perkara Yang
demikian, maka Sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan Yang betul.(Surah
Al-Mumtahanah ayat 1)
• Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum
tertentu, seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami 'Ubaid
bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam dari
Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk menemui aku saat itu di
sisiku ada dua orang budak tetangga Kaum Anshar yang sedang bersenandung, yang
mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum Anshar pada perang Bu'ats."
'Aisyah menlanjutkan kisahnya, "Kedua sahaya tersebut tidaklah begitu
pandai dalam bersenandung. Maka Abu Bakar pun berkata, "Seruling-seruling
setan (kalian perdengarkan) di kediaman Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam!" Peristiwa itu terjadi pada Hari Raya 'Ied. Maka bersabdalah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya
setiap kaum memiliki hari raya, dan sekarang ini adalah hari raya kita."
(Hadith ke-899 riwayat Imam Bukhari)
Perayaan
krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan Allah, maka tidak harus kita menyertainya.
2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan
Perayaan Kepada Mereka :
Berhubung
permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka,
terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang membenarkan dan ada pula yang
mengharamkan tindakan ini.
Imam Ibnu
Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam
Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan
tahniah terhadap syiar yang telah
dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan
tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika
/ tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).
Tetapi
menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini
selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah
kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan
kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
Maksudnya : dan apabila kamu diberikan penghormatan
Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah
penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan
cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.
(Surah An-Nisaa’ ayat 86)
Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada
berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu
kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. (Surah
Al-Mumtahanah ayat 8)
Namun,
perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan
yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi
semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini
dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap
toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang
telah ditetapkan.
Kesimpulan
Agama Islam merupakan agama yang
menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun,
dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih
utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat
penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :
1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan
kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini
disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.
2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada
hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa gembira dengan
perayaan ini tetapi hanya ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah
komuniti.
Apa yang
paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat
berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan
perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan
kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.
Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail
Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn
al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da'ud Sulayman ibn
Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu
Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr
Ikrimah Sobri.
Disediakan oleh,
Muhammad Hanif bin Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM.
Sumber : pmram-manhal
No comments:
Post a Comment