ZAGAZIG 18 Dis. Bermula kelmarin
pembelian borang pencalonan telah dibuka untuk semua ahli matang (tahun 2 ke
atas) Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ) bagi mengambil bahagian dalam
pilihanraya merebut 21 kerusi ikhwah dan akhawat.
Dua kerusi masing-masing untuk
dipertandingkan bagi jawatan Pengerusi (ikhwah) dan Timbalan Pengerusi II
(akhawat). Manakala kerusi selebihnya dipertandingkan untuk mengisi jawatan Ahli
Jawatankuasa Tabdir (AJKT).
Kelayakan untuk menyertai
pilihanraya ini dinilai dari sudut kematangan iaitu sekurang-kurangnya melebihi
setahun menjadi ahli PCZ. Antara syarat yang ditetapkan untuk mencalon dan
dicalonkan hendaklah menjelaskan yuran keahlian PCZ terlebih dahulu. Seramai 300
orang ahli PCZ yang layak mengundi untuk kali ini telah dikenal pasti.
Menurut maklumat yang
diterima, pilihanraya tahun ini cukup hangat kerana ramai ahli yang berkaliber
serta berpengalaman dalam mengurustadbir persatuan mengambil bahagian dalam
pemilihan kali ini.
Pilihanraya kali ini
dijadualkan akan berlangsung di markaz pelajar Malaysia atau lebih dikenali
sebagai Dewan Darul Wehdah.
Pilihanraya kali ini dijangka
lebih meriah kerana desas-desus yang diterima bahawa setiap calon yang
bertanding akan membawa slogan dan manifesto masing-masing dalam usaha untuk menambat
hati ahli umum.
Harapan ahli di peringkat akar
umbi agar kepimpinan yang akan mengepalai bahtera PCZ lebih mementingkan aspek
kerohanian dan keagamaan serta professional dalam kepimpinan yang dibawa.
Menurut seorang ahli yang
sempat ditemubual, katanya “inilah peluang untuk kita mengemukakan cadangan dan
mengubah corak pembawakan dan pentadbiran pada setiap tahun”. Tambah beliau
lagi, yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, harapannya “pada 28 Disember ini tiada
seorang ahli pun yang terkecuali dalam proses membuang undi pada hari tersebut”
Pilihanraya ini cukup penting
malah ianya menjadi suatu kewajiban bagi menentukan halatuju serta pembawakan
PCZ untuk masa akan datang.
No comments:
Post a Comment