BOTOL minyak angin akan dicapai dan disapu pada bahagian yang
sakit apabila seseorang itu mengalami lenguh-lenguh atau kesakitan pada
tulang, sendi atau otot.
Jika penggunaan minyak angin tidak menyembuhkan dan kecederaan atau
kesakitan nampak lebih memudaratkan, si tukang urut pula yang akan
dicari sebagai ikhtiar.
Berbeza dengan mereka yang mengalami kemalangan serius sehingga
mengakibatkan patah tulang atau tulang terkehel, orang pertama yang akan
dicari mangsa ialah doktor atau pakar ortopedik.
Pada saat-saat genting seperti itu, hampir semua mangsa kemalangan
percaya doktorlah satu-satunya insan yang tahu bagaimana keadaan tulang
yang tersembunyi di dalam badan mereka seterusnya mampu memberi rawatan
sepatutnya.
Pendek kata, pada waktu krikital sesiapa pun tidak akan memikirkan
tentang kesakitan yang akan ditanggung apabila tulang mereka
diperlakukan sesuatu oleh doktor.
Sebenarnya, bidang ortopedik di Malaysia tidak hanya terhad kepada
rawatan trauma (kemalangan) ortopedik semata-mata, sebaliknya merangkumi
setiap cabang ilmu berkaitan tulang, rangka, otot dan sendi.
Justeru, tiada sebab untuk masyarakat di Malaysia berasa ragu-ragu
atau takut untuk mendapatkan rawatan di hospital walaupun mereka
mengalami kesakitan atau kecederaan kecil pada bahagian tulang.
“Bidang spina dan sendi cukup maju di Malaysia, setanding dengan
negara maju lain di dunia. Kita ada cukup tenaga pakar, malah ramai di
antaranya yang berpengalaman luas. Mereka ada kemahiran dan cukup
terlatih untuk merawat dan membuat pembedahan,” kata Perunding Ortopedik
dan Pakar Bedah Trauma Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Gobinder Singh
(gambar) kepada Mingguan mStar.
Dr. Gobinder yang sudah 11 tahun berkhidmat di hospital swasta itu
tidak menafikan bahawa di Malaysia rawatan terhadap tulang majoritinya
dilakukan terhadap mereka yang terbabit dengan kemalangan atau yang
tercedera ketika bersukan semata-mata.
Padahal, dalam masa yang sama kebanyakan rakyat Malaysia terutama
yang berusia 50 tahun ke atas sering mengalami sakit-sakit sendi dan
memerlukan rawatan pemulihan.
“Kebanyakan masyarakat kita memandang ringan masalah kesakitan tulang
dan sendi yang biasanya dialami. Kebanyakan mereka yang datang ke
hospital dan dihantar ke unit ini adalah mereka yang terbabit dengan
kemalangan jalanraya dan mengalami kecederaan tulang yang teruk sahaja.
“Kalau sakit-sakit biasa, mereka hanya membiarkan ia terus sakit atau
mendapatkan rawatan alternatif di tempat lain berbanding berjumpa
doktor,” katanya.
Hal ini berbeza dengan kelompok yang sama di Amerika Syarikat (AS)
yang mana kebanyakan warga emas di sana sanggup menjalani rawatan tulang
dan sendi bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti harian seperti
biasa.
Statistik juga menunjukkan pada tahun ini sahaja seramai 500,000
penduduk di AS telah membuat pembedahan tulang, termasuklah pembedahan
untuk menukar sendi.
“Ini bererti, sepatutnya 50,000 penduduk Malaysia melakukan
pembedahan yang sama, tetapi kita tidak mencapai jumlah itu. Di sana
(AS), mereka mahu bergerak, berjalan dan menjalankan rutin seperti biasa
selagi mereka masih hidup, walaupun usia mereka telah meningkat”
katanya.
Pembedahan tukar sendi biasanya perlu dilakukan terhadap seseorang
yang berusia 50 tahun ke atas dan mengalami kesakitan terutama di
bahagian lutut sehingga membataskan pergerakan pesakit.
Tanda-tanda seseorang itu mengalami masalah pada tulang sendi
termasuklah berasa sakit di bahagian sendi, bengkak-bengkak dan struktur
tulang kelihatan tidak normal.
Selain kesakitan di bahagian lutut, bahagian lain seperti pinggul,
bahu siku dan buku lali juga sering dialami mereka yang sudah lanjut
usia.
Kos, takut dibedah
Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga
menjelaskan, selain faktor sikap dan kurang kesedaran terhadap keperluan
mempunyai tulang dan sendi yang sihat, salah tanggapan terhadap kos
pembedahan turut menjadi alasan untuk tidak mendapatkan rawatan di
hospital.
“Di Malaysia, dapat saya katakan kos pembedahan masih di tahap
sederhana, malah lebih murah jika dibandingkan dengan Singapura dan
hospital-hospital swasta di Indonesia,” jelasnya.
Kos sebanyak RM25,000 - RM27,000 untuk pembedahan tersebut yang
dianggarkan untuk menjalankan pembedahan tersebut nyata sekali tidak
seberapa nilainya jika dibandingkan dengan nikmat menjalani hidup yang
lebih selesa dan sihat pada usia emas.
Menurut Dr. Gobinder, hampir semua pesakit berusia 60 tahun ke atas
yang mengalami sakit lutut berpunca daripada tulang sendi dan tulang
rawan yang haus.
“Kita akan ganti tulang yang haus itu dengan tulang palsu yang
diperbuat daripada besi. Bentuknya sama dengan tulang asal dan dapat
berfungsi seperti tulang biasa,” kata sambil memberitahu tulang palsu
tersebut mampu bertahan selama 20 tahun di dalam badan manusia.
Pun begitu katanya, tidak semua masalah seumpama itu memerlukan pembedahan.
“Semuanya bergantung pada kecederaan. Selepas pesakit diperiksa, kita
akan lihat pelan rawatan yang sesuai untuk mereka. Ada pesakit yang
hanya perlu makan ‘glucosamine’ iatu makanan tambahan yang baik untuk
kesihatan tulang,” katanya.
Beliau berkata, pesakit juga tidak perlu bimbang dengan kesakitan
yang akan dihadapi sekiranya mereka mahu menjalani pembedahan yang
mengambil masa kira-kira dua jam ini.
“Pesakit akan merasai kesakitan minimum selepas dibedah tetapi tidak akan berasa sakit ketika sedang menjalani pembedahan.
Kesan sampingan juga tiada, tetapi mereka tidak boleh terlalu lasak dan tidak digalakkan duduk bersila,” katanya.
Faktor utama yang menyebabkan berlaku kerosakan sendi terutama sendi
lutut disebabkan genetik, berat badan berlebihan dan kurang senaman.
Fisioterapi
Hospital Pantai merupakan satu-satunya hospital di negara ini yang
mempunyai unit fisioterapi sendiri di Jabatan Spina Dan Sendi.
Ditubuhkan pada tahun 2009, hospital yang mempunyai dua pakar spina
dan tiga pakar sendi ini bersedia membantu pesakit yang menghadapi
masalah spina dan sendi.
Tertubuhnya unit fsioterpai ini, masalah yang lebih spesifik juga dapat dirawat di sini tanpa pesakit menunggu lebih lama.
“Kita ada fisioterapi sendiri untuk rawatan serta-merta. Selepas
pembedahan, mereka boleh datang ke unit fisioterapi ini dan pakar-pakar
akan melihat masalah atau komplikasi yang mungkin berlaku terhadap
seseorang pesakit yang baru dibedah,” katanya.
Selain pembedahan menukar sendi lutut yang haus, rawatan dan kaedah
lain yang ditawarkan untuk menyembuhkan pesakit termasuklah penyambungan
ligamen dan memasukkan besi di dalam tulang yang dipanggil
‘interlocking nail’.
Mempunyai ramai tenaga pakar ditambah pula dengan pengalaman yang
luas, tiada sebab untuk masyarakat Malaysia berasa ragu-ragu untuk
mendapatkan khidmat doktor dan pakar bedah dalam negara.
Ortopedik yang berhubung rapat dengan spina dan sendi juga merangkumi
satu bidang yang cukup luas, sekali gus menepis tanggapan masyarakat
bahawa bidang ini lebih tertumpu kepada trauma ortopedik semata-mata.
Sumber: Mstar Online
No comments:
Post a Comment