Pages

Penulisan Popular

Sunday, December 19, 2010

Nukilan : Mahasiswa Islam Harapan Ummah



Allah Taala berfirman di dalam al-Quran Surah al-Zumar ayat 9 yang berbunyi :

Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"

Para mahasiswa Islam Harapan Ummah.

Kita adalah masyarakat yang terpilih yang telahpun dinobatkan oleh Allah sebagai satu kelompok masyarakat yang diberikan peluang untuk menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini. Majoriti mahasiswa dan mahasiswi di Mesir ini adalah penuntut pengajian Islam manakala yang berbaki adalah mahasiswa dan mahasiswi daripada bidang perubatan.

Sekalipun wujud perbezaan antara dua disiplin ilmu ini, namun perbezaan yang wujud tidak dapat menafikan bahawa kita semua tanpa berkecuali adalah seorang mahasiswa dan masyarakat pelajar yang sedang membina karisma ilmu agar kewujudan kita pada masa hadapan adalah satu hadiah terulung buat masyarakat manusia khususnya di Malaysia.

Maka sayugia bagi seluruh mahasiswa di Perlembahan Nil ini agar bersyukur kepada Allah yang telah memberikan kepada kita semua satu peluang untuk meraih sebanyak ilmu pengetahuan yang ada di dataran bertuah ini.

Ilmu adalah segalanya.

Saya menyeru kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir agar kembali mengkoreksi diri dari sudut ketekunan kita dalam menuntut ilmu. Sebagai seorang yang bergelar mahasiswa dan penuntut ilmu, gelaran ini sudah cukup untuk mencerminkan tindak tanduk dan aktiviti harian kita yang sepatutnya dan sewajibnya sepanjang keberadaan kita di Mesir ini. Tidak selayaknya kita  sebagai seorang mahasiswa Islam yang berada di menara gading terulung; al-Azhar as-Syarif dan universiti-universiti pengajian perubatan hanya menjadikan aktiviti ilmu, belajar mengkaji dan mentelaah sebagai aktiviti sampingan.

Sekiranya begitu, saya berpandangan bahawa kita adalah seorang pelancong yang datang ke Mesir untuk bersiar-siar lalu disebabkan wujud beberapa minit yang berbaki, kita habiskan minit-minit waktu yang berbaki untuk meninjau-ninjau apa yang dikebumikan di dalam buku-buku dan hasil tangan para ulama dan ilmuan silam.

Sepanjang pengamatan saya selama saya berada di Mesir, saya mendapati para mahasiswa Islam di Mesir secara majoriti adalah masyarakat yang pelajar yang malas dan sering membuang masa. Kehidupan harian mereka dihabiskan dengan berbual-bual kosong, melayari kehendak mereka menerusi pelayaran internet, menghujani badan dengan aktiviti sukan, menonton filem sama ada filem tersebut adalah filem yang baik atau sebaliknya, tidur dan berkhayal.

Walaupun tidak dinafikan bahawa wujud beberapa individu pelajar yang tahu tugas rasminya sebagai seorang pelajar, namun bilangan kerdil ini tidak dapat membaham lautan manusia Malaysia Mesir yang lebih banyak membuang dan mensia-siakan masa daripada memetik ilmu yang meranum.

Sampai bila kita akan terus lena dalam kealpaan ini? Apakah seorang petani boleh dianggap sebagai seorang petani sekiranya dia hanya memperuntukkan 5 minit dalam sehari untuk memegang tumbuh-tumbuhan di lading sedangkan waktunya yang berbaki dihabiskan dirumah, di kedai kopi dan sebagainya?

Apakah sebenarnya faktor yang menyebabkan mahasiswa Islam di Mesir khususnya lesu dalam arena memperkukuhkan diri dengan ilmu?

Saya mempunyai satu pandangan dan pandangan ini pastinya akan memerahkan cuping-cuping telinga banyak pihak. Walau bagaimanapun apa salahnya untuk saya bentangkan pandangan ini dihadapan masyarakat intelek untuk dikaji sejauh mana kebenarannya.

Bagi saya,selain daripada sikap malas dan tiada jati diri dalam jiwa para mahasiswa, saya berpandangan bahawa faktor ketidaklayakan untuk bergelar seorang pelajar universiti adalah sebab utama mengapa kebanyakan mahasiswa Islam di Mesir acuh tidak acuh dalam menggali ilmu pengetahuan di Mesir.

Maafkan saya kalau kalam ini memang kasar namun apa salahnya untuk kita renungi bersama mana tahu ada yang tersentak lalu kembali memulakan langkah sebagai seorang penuntut Ilmu agama.

Lihat ya. Bukankah ada dikalangan kita yang memiliki nilai sijil yang rendah sehingga dia tidak layak untuk menduduki mana-mana universiti di Malaysia, lalu apabila sijil yang dimiliki tidak diterima oleh mana-mana universiti di Malaysia, dia terus bergegas ke universiti-universiti di Mesir untuk memaksa universiti-universiti tersebut memberikan gelaran “mahasiswa” kepadanya. Ini bermaksud universiti Al-Azhar dan universiti-universiti lain yang ada di Mesir ini hanyalah sebagai kuda tunggangan kepada orang ini agar dia diberikan title ilmu sedangkan sepanjang dia berada di Mesir, dia hanya berfoya-foya dan membuang masa tanpa ada rasa bersalah kerana tidak melunaskan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu.

Pastinya orang yang tidak layak bergelar sebagai mahasiswa sebuah universiti tidak akan dapat menjiwai nilai ilmu dan semangat yang ada dalam sukma seorang penuntut universiti. Kalau begitu tidak mustahillah sekiranya dia hanya menjadi pelancong sepanjang dia berada di Mesir.

Kalaulah pandangan saya ini ada benarnya, maka fenomena kemalasan yang cukup ketara di Mesir ini adalah natijah daripada masalah ini. Semestinya kita tidak akan mampu untuk meminta daripada seorang individu yang tidak layak untuk bergelar seorang pelajar universiti pada hakikatnya menjiwai perjuangan dan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa yang menggendong amanah ilmu buat manusia seajmainnya.

Maafkan saya di atas pandangan yang tidak sedap untuk didengar ini.

Para mahasiswa sekalian,

Sekalipun berkemungkinan kita adalah tergolong dikalangan manusia yang tidak layak untuk memasuki universiti-universiti di Malaysia, namun dengan takdir dan kurniaan Allah, kita telahpun diberikan peluang untuk menghirup udara kamar-kamar universiti di Mesir.

Bukankah kita sekarang adalah seorang mahasiswa? Maka kenapa kita tetap tidak mahu berubah? Mengapa tetap  menjadi spesis manusia pembuang masa dan manusia yang aktiviti hariannya adalah aktiviti berfoya-foya? Sudahlah datang ke Mesir dalam keadaan tidak layak untuk memasuki mana-mana universiti, sudah mendapat peluang, peluang yang ada diabaikan pula.

Saya merintih dan menangis di atas kemalasan dan kebodohan kalian. Saya menyeru kalian untuk menyahkan kemalasan dan sikap acuh tidak acuh yang telah mendarah daging dalam tubuh kalian lalu terus bersiap untuk menjadi seorang yang ada jati diri dan kesedaran.

Walaupun mungkin kalian tidak bernasib baik dalam merangkul sijil yang hebat semasa kalian di Malaysia dahulu, namun kalian bukanlah tidak mampu untuk mencorakkan kembali kehidupan gemilang kalian dalam arena ilmu. Sampai bila kalian ingin menjadi pelancong. Tidak teringinkah untuk kalian menobat kembali amanah ilmu dan menjadikan waktu yang bersisa sebagai modal untuk menjadi seorang penggendong ilmu yang akan menarik kembali tangan manusia agar kembali kepada Allah dan SyariatNya?

Ingat! Esok lusa Allah akan mempersoalkan tindakan kalian yang menghabiskan wang zakat dan wang keluarga sedangkan ilmu yang dipertanggungjawabkan hilang entah kemana.
Kalian sendiri yang perlu untuk menjawabnya.

Maafkan saya,

Hairul Nizam Mat Husain.
Mantan Presiden PMRAM 
Sesi 2006/2007 - 2007/2008

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment