Seorang  penduduk (kanan) melaungkan azan di kawasan imam
  Sidi Samad   dibaham buaya semasa usaha   mencari mayat mangsa di 
Sungai Batang Samarahan, di Kampung Reban,  Serian,  Sarawak, semalam.  -
 mingguan malaysia/AMIR HAFIZ ABD.  RAHMAN 
SAMARAHAN 18 Dis. - ''Itu kaki bapa saya, minta tolong pulangkan," 
luah Musa Sidi, 40, selepas melihat rahang seekor buaya berukuran 
panjang kira-kira 5 meter dan lebar 1.5 meter membawa kaki bapanya dalam
 satu kejadian yang berlaku di Sungai Batang Samarahan di Kampung Reban 
dekat Serian pagi ini.
Mangsa, Sidi Samad, 66, yang juga imam ketiga Masjid Darul Ihsan 
kampung berkenaan maut dibaham buaya kira-kira pukul 6.30 pagi ketika 
sedang menjala udang galah secara bersendirian di sungai berkenaan yang 
dikenali sebagai habitat reptilia berkenaan.
Musa anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia menerima 
panggilan daripada salah seorang adiknya mengenai kehilangan bapanya 
yang tidak pulang-pulang ke rumah pada pukul 10.30 pagi.
Katanya yang baru selesai mengambil bas sekolah yang dipandunya dari 
bengkel kemudiannya terus bergegas pulang ke rumah dan terus menuju ke 
lokasi kejadian yang terletak betul-betul di hadapan rumah.
Katanya lagi, pada ketika itu dia bersama dua lagi penduduk melihat 
seekor buaya sebesar perahu berada kira-kira 30 meter dari tebing sedang
 timbul dan bergerak mengikuti arus sungai dengan di rahangnya terdapat 
sesuatu benda yang disahkan kaki bapanya.
''Kali kedua buaya itu timbul di tengah sungai, saya dapati, kedua-dua kaki bapa saya ada di dalam mulut buaya berkenaan.
''Lantas saya memanggil buaya berkenaan dengan harapan haiwan itu 
akan menyerahkan bapa saya namun buaya itu ia terus hilang dengan 
mengibas-ngibas ekornya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di 
sini hari ini.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, penduduk kampung 
berusaha memburu buaya berkenaan dengan menggunakan perahu. Mereka turut
 melaungkan azan dan membaca surah Yasin sebagai usaha membantu mengesan
 Sidi.
Setakat pukul 4 petang ini, usaha mencari imam berkenaan masih 
diteruskan. Sungai Batang Samarahan juga pernah meragut nyawa 
kanak-kanak akibat dibaham buaya 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, isteri kepada Sidi, Dayang Salhah Awang Sahrul, 64, 
memberitahu, suaminya sempat bersarapan pagi dengan hanya meminum kopi 
bersama tiga yang lain kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum keluar rumah.
Ujarnya yang telah 45 tahun berkahwin, suaminya langsung tidak 
menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu berlaku malah mereka
 sempat menghadiri majlis kenduri arwah jirannya malam tadi.
''Menyedari suami saya tidak pulang lagi ke rumah, saya bertekad 
untuk mencarinya bersama anak yang lain namun diberitahu bahawa kakinya 
ditemui berada di mulut buaya berkenaan," katanya yang redha dengan 
pemergian suaminya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Supritendan Jamali Umi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Sumber: Utusan Malaysia 

 
No comments:
Post a Comment