Muqaddimah
Kita
sering mendengar berleluasanya kisah-kisah Israiliyat di ceramah-ceramah atau
pengajian yang dihadiri. Ada kalanya perkara tersebut di luar pengetahuan kita,
malah ketika mendengar buat pertama kalinya terus berasa seronok dan terpegun
dengan kisah yang diceritakan. Namun, bagaimanakah pandangan agama Islam
terhadap kisah-kisah ini? Adakah para ulama' terdahulu menolak daripada
menerima cerita Israiliyat?
Asal Kalimah
1. إسرائيليات
– kata jama' kepada kalimah إسرائيليةyang dinisbahkan
kepada Bani Israel. Manakala yang dimaksudkan dengan Israel ialah Nabi Ya'kub
a.s., dan Bani Israel ialah anak-anak serta keturunan baginda walaupun sehingga
zaman Nabi Muhammad S.A.W. Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 58 :
58. mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang
telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari
keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam
bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari
keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri
hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat
(Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
Sejak
dahulu, mereka dikenali dengan nama Yahudi di samping golongan Nasrani yang
beriman dengan Nabi Isa a.s. Allah S.W.T. menyebutkan pada beberapa tempat
berkenaan dengan Bani Israel sebagai tanda sifat kebaikan yang ada pada Nabi
Ya'kub sehingga keturunannya akan mengikuti jejak langkah yang telah
ditinggalkan serta meninggalkan perbuatan yang keji dan tercela.
2. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa
Israiliyyat membawa beberapa maksud :
• Cerita-cerita terdahulu dan riwayat yang banyak
bersumberkan daripada golongan Yahudi berbanding Nasrani.
• Riwayat yang disampaikan oleh perempuan Yahudi
atau Nasrani.
• Perkara yang masuk ke dalam kitab karangan ulama'
silam terutamanya dalam bidang tafsir yang mempunyai susur galur riwayat samada
daripada Yahudi atau Nasrani. Adapun riwayat yang tiada asal dan tergantung
maka ia dikira sebagai khurafat, atau kisah-kisah palsu.
Namun, berdasarkan pengertian ini kita melihat
riwayat Israiliyyat banyak mengambil sumber daripada Yahudi disebabkan ramainya
bilangan mereka di Tanah Arab berbanding masyarakat Nasrani. Kemudian setelah
beberapa orang dari kalangan mereka memeluk agama Islam, dan meriwayatkan
kisah-kisah yang terdapat dalam agama lama mereka kepada kaum muslimin.
Sejarah Ringkas Kemunculan Israiliyyat
Pada
tahun 70M, masyarakat Yahudi datang ke Tanah Arab melarikan diri dari Syam
setelah musnahnya Haikal dan menetap di kawasan Yathrib, Taima’, Himyar, dan
Wadi Al-Qura’. Tetapi orang Arab hanya mengetahui tentang agama Yahudi ini
selepas suatu ketika apabila masyarakat Yaman memeluk agama ini hasil dakwah
Tubba’ (lelaki yang ingin menyerang Madinah sebelum Islam tetapi telah dihalau)
yang membawa bersamanya dua orang pendeta yang menyebarkan ajarannya di sana.
Berbeza
dengan keadaan orang Nasrani yang sering ditindas oleh pelbagai golongan
seperti penyembah berhala, kaum Yahudidan kerajaan Byzantine. Kesannya, mereka
lari ke Tanah Arab kerana ingin menjauhkan diri daripada penindasan yang
disebabkan perbezaan agama ini. Dakwah Nasrani di tempat baru mereka telah
membuahkan hasil apabila beberapa orang telah memeluk ajarannya seperti Warqah
bin Naufal, Imruul Qais, kabilah Ghassan, dan sebagainya.
Kewujudan
dua puak ini (Yahudi dan Nasrani) memberikan impak yang besar kepada kehidupan
masyarakat Arab. Selain itu, aktiviti perniagaan juga sedikit sebanyak membuka
peluang kepada masyarakat dalam mengenali dua agama ini. Setelah kedatangan
Islam, berlakunya dialog dan perbahasan antara kaum Muslimin dan Ahli Kitab
seperti yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Akibatnya, ramai di kalangan
mereka yang memeluk agama Islam setelah jelas dan nyata di hadapan mereka
bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. ialah agama yang benar.
Namun, ada yang baik Islamnya sedangkan sebahagian yang lain menjadi munafiq,
sebagai dalang kepada kaum Yahudi dan musyrikin dalam menghancurkan Islam dari
dalam.
Perselisihan antara dua kelompok ini (Muslimin dan Ahli Kitab) tidak
terhenti setakat ini sahaja. Pernah terjadi dialog antara Saidina Abu Bakar dan
Saidina Umar bersama dengan pendeta, kisah seorang muslim memukul seorang
Yahudi setelah Yahudi tersebut mengatakan : Tidak, sebenarnya Nabi Musa ialah
pilihan sekalian alam, dan pelbagai lagi yang menunjukkan perselisihan pendapat
di kalangan mereka. Tetapi, Nabi S.A.W. pada waktu itu berperanan sebagai orang
tengah yang memperjelaskan keadaan sebenar kepada salah faham yang berlaku
antara dua golongan ini. Perkara ini berterusan pada zaman para sahabat apabila
mereka bertindak sebagai pihak rujukan masyarakat pada ketika itu setelah
wafatnya baginda S.A.W.
Pada
zaman tabiin pula, pendustaan dan pemalsuan banyak berlaku kerana menurut hawa
nafsu sehingga menyebabkan manusia tidak dapat membezakan antara suatu yang
baik dan buruk. Ada di kalangan para tabiin (asal Yahudi atau Nasrani yang
memeluk agama Islam) mengambil sikap bermudah-mudah dalam meriwayatkan sesuatu,
sehinggakan bukan kisah Israiliiyat sahaja yang diriwayatkan bahkan khurafat
dan dongeng yang tidak mempunyai sandaran. Faktor lain yang membantu penyebaran
ini ialah dakwaan mereka yang mengatakan para sahabat dan tabiin berkeinginan
untuk mengetahui semua perkara daripada kisah umat dan para nabi terdahulu yang
tidak disebutkan dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W.
Ibnu Khaldun menyebutkan dalam kitabnya,
“Muqaddimah Ibnu Khaldun” bahawa penyebaran Israiliyyat ini adalah disebabkan
dua perkara :
1. Keadaan masyarakat Arab pada waktu itu yang buta
huruf.
2. Sifat manusia yang ingin mengetahui semua
perkara.
Di samping itu, kisah-kisah ini tidak ada kaitannya
dengan hukum-hakam yang seterusnya menyebabkan ia terus ditulis dan diceritakan
kepada orang ramai.
Pembahagian Israiliyyat
Para ulama’ telah membahagikan Israiliyyat kepada
tiga iaitu :
1. Bahagian yang selari dengan syariat dan Al-Quran
; seperti kisah Al-Jassasah yang diceritakan oleh Tamim Ad-Dariy dan diperakui
oleh Nabi S.A.W. (hadith dalam Sahih Muslim, kitab Fitnah, bab Kisah
Al-Jassasah). Antara lain ialah kisah Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir, kisah
Juraij seorang ‘abid dan sebagainya yang turut diceritakan di dalam Al-Quran
dan hadith Nabi S.A.W. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan
kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.
2. Bahagian yang bertentangan dengan syariat dan
Al-Quran : seperti mencemar maruah kenabian dalam kisah Nabi Yusuf a.s. apabila
menyebutkan bahawa baginda yang berkeinginan kepada isteri pembesar Al-Aziz,
kisah nabi Daud dan sebagainya yang mengaitkan para nabi dengan dosa syirik,
zina dan sebagainya. Dalam hadith Nabi SAW ada menyebutkan :
حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ أَخْبَرَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَيْفَ تَسْأَلُونَ أَهْلَ الْكِتَابِ عَنْ شَيْءٍ وَكِتَابُكُمْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْدَثُ تَقْرَءُونَهُ مَحْضًا لَمْ يُشَبْ وَقَدْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ بَدَّلُوا كِتَابَ اللَّهِ وَغَيَّرُوهُ وَكَتَبُوا بِأَيْدِيهِمْ الْكِتَابَ وَقَالُوا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أَلَا يَنْهَاكُمْ مَا جَاءَكُمْ مِنْ الْعِلْمِ عَنْ مَسْأَلَتِهِمْ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَيْنَا مِنْهُمْ رَجُلًا يَسْأَلُكُمْ عَنْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Musa bin
Ismail telah menceritakan kepada kami Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Ibn
Syihab dari 'Ubaidullah bin Abdullah bahwa Ibn Abbas radliyallahu'anhuma
berkata, "Bagaimana kalian bertanya ahli kitab padahal kitab kalian yang
diturunkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih baru
kemurniannya dan belum terkotori? Sedang ahlu kitab menceritakan kepada kalian
dengan mengubah-ubah kitabullah dan menggantinya, dan mereka tulis alkitab
dengan tangannya dan mereka katakan, 'Ini dari sisi Allah' untuk mereka tukar
dengan harga yang sedikit, tidak sebaiknyakah ilmu yang yang kalian miliki
mencegah kalian dari bertanya kepada mereka? Tidak, demi Allah, takkan kulihat
lagi seseorang diantara mereka bertanya kalian tentang yang diturunkan kepada
kalian.'
(Hadith ke-6815 riwayat Imam Bukhari)
Abdullah bin Mas’ud pernah menyatakan : (Janganlah
kamu bertanyakan Ahli Kitab kerana mereka tidak memberi petunjuk kebenaran
bahkan menyesatkan kamu. Maka, kamu akan mendustakan yang benar dan membenarkan
yang bathil).
3. Bahagian yang tidak terdapat dalam syariat dan
Al-Quran samada selari atau bertentangan : bahagian ini paling banyak kedapatan
pada zaman sekarang namun tiada larangan padanya dan tidak juga mendustakannya.
Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan :
Maksudnya : Telah menceritakan kepadaku Muhammad
bin Basyar telah menceritakan kepada kami Usman bin Umar telah mengabarkan
kepada kami Ali bin Al Mubarak dari Yahya bin Abu Katsir dari Abu Salamah dari
Abu Hurairah berkata, 'Ahli kitab membaca Taurat dengan bahasa ibrani dan
menafsirkannya dengan bahasa arab untuk pemeluk Islam! Spontan Rasulullah
Shallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Jangan kalian benarkan ahli kitab,
dan jangan pula kalian mendustakannya, dan katakan saja '(Kami beriman kepada
Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu)
'."
(Hadith ke-6814 riwayat Imam Bukhari).
Contoh
kisah pada bahagian ini termasuklah nama Ashabul Kahfi dan bilangan mereka,
kisah burung dan Nabi Ibrahim a.s., pokok yang dimakan oleh Nabi Adam a.s. dan
sebagainya. Para ulama’ mengatakan kebanyakan kisah bahagian ini adalah
khurafat dan dongeng dengan dosa menyebarkannya lebih besar daripada manfaat
yang ada padanya. Hal ini kerana, suatu kitab tafsir contohnya akan bertukar
kepada kitab lain yang penuh dengan cerita yang tidak boleh diterima akal dan
syara’ kerana ia merupakan khayalan dan rekaan pendeta terdahulu yang
disebarkan kerana ingin menjauhkan masyarakat Yahudi daripada kitab Taurat yang
asli. Bukan itu sahaja, perbuatan ini juga kadang-kadang bertujuan memberikan khidmat
kepada raja dan pembesar pada waktu itu.
Pendirian Ulama’ Tentang Israiliyyat
Sejak
dahulu lagi pelbagai usaha telah dilakukan oleh para ulama’ dalam membersihkan
kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu. Namun, usaha ini amat
susah dan memerlukan kepada kesungguhan dan dilakukan dalam tempoh yang
berpanjangan. Tanpa disedari, kisah-kisah ini mudah disebarkan kepada
masyarakat awam tanpa kawalan yang menyebabkan ia terus diwarisi dari satu
generasi ke generasi yang lain. Hadith Nabi SAW ada menyebutkan :
Maksudnya : Telah bercerita kepada kami Abu 'Ashim
adl-Dlahhak bin Makhlad telah mengabarkan kepada kami Al Awza'iy telah
bercerita kepada kami Hassan bin 'Athiyyah dari Abi Kabsyah dari 'Abdullah bin
'Amru bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sampaikan dariku
sekalipun satu ayat dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il
dan itu tidak apa (dosa). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja maka
bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka".Imam Malik
menyebutkan : (Maksud hadith ialah dibenarkan meriwayatkan daripada mereka
selagi mana ia adalah perkara kebaikan. Adapun pada perkara yang diketahui
bahawa ia adalah dusta maka ia dilarang).
(Hadith ke-3202 riwayat Imam Bukhari)
• Imam As-Syafie : (Sedia maklum bahawa baginda
S.A.W. melarang berbicara dusta, jadi maksud hadith ialah - ceritakanlah
daripada Bani Israel pada perkara yang kamu tidak ketahui bahawa ia adalah
dusta. Adapun perkara yang dibenarkan maka tidak menjadi suatu dosa kepada kamu
untuk meriwayatkannya. Inilah petanda kepada hadith baginda :
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Ahmad
bin Muhammad bin Tsabit Al Marwazi telah menceritakan kepada kami Abdurrazzaq
telah mengabarkan kepada kami Ma'mar dari Az Zuhri telah mengabarkan kepadaku
Ibnu Abu Namlah Al Anshari dari Ayahnya bahwa ketika ia sedang duduk di sisi
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang saat itu di sisi beliau ada
seorang Yahudi, lewatnya jenazah di hadapan beliau. Lalu orang Yahudi itu
berkata, "Wahai Muhammad, apakah jenazah ini berbicara?" Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam kemudian menjawab: "Allah lebih
mengetahui." Orang Yahudi itu pun berkata, "Sesungguhnya jenazah
tersebut berbicara." Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Apa yang diceritakan oleh orang-orang ahli kitab kepada kalian maka
janganlah kalian percayai atau kalian dustakan. Tetapi katakanlah, 'aku beriman
kepada Allah dan para Rasul-Nya'. Jika mereka dusta maka kalian tidak
mempercayainya dan jika benar maka kalian tidak mendustakannya."
(Hadith
ke-3159 riwayat Imam Abu Daud)
; yang tidak menyebutkan keizinan dan larangan
ketika meriwayatkan pada perkara yang dipastikan kebenarannya.
• Imam Ibnu Hajar : (ولا
حرج iaitu janganlah
menyempitkan dada kamu dengan apa yang kamu dengar daripada perkara yang
mengagumkan dan itu yang banyak berlaku kepada mereka. Apa yang dimaksudkan
dengan jangan bersusah-payah ialah pada pihak yang menceritakan kisah
Israiliyyat disebabkan di dalamnya terdapat perkataan yang tidak baik seperti
dalam Surah Al-Maidah ayat 24 :
24. mereka (Menolak dengan) berkata: "Wahai
Musa, Sesungguhnya Kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi
kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan
perangilah mereka. sebenarnya Kami di sinilah duduk menunggu".
; dan Surah Al-A’raf ayat 138 :
138. dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut
(Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum Yang sedang menyembah
berhala-berhalanya. (Melihatkan Yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata:
"Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka
mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini
adalah kaum Yang jahil.
Pendapat
Ibnu Hajar ini merupakan pemahaman yang baik dalam memahami maksud hadith
kerana ada beberapa perkataan dan ungkapan dalam kisah Israiliyyat yang boleh
membawa kepada kekufuran. Tetapi, ia
hanya diceritakan sebagai suatu peringatan dan manfaat bersama.
Adapun
hadith ke-3159 riwayat Imam Abu Daud di atas, ia ditujukan kepada mereka bukannya
kita kerana Nabi tidak menyuruh di dalamnya supaya meriwayatkan sesuatu
daripada Ahli Kitab bahkan seolah-olah ia mengajar kepada umat Islam supaya
beradab ketika berbicara dengan mereka selari dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-'Ankabut ayat 46 :
46. dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab
melainkan Dengan cara Yang lebih baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim
di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada
(Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang
diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan
kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri."
• Imam Ibnu Taimiyah menyebutkan dalam kitab
“Ma’arij Al-Usul” : (Al-Quran adalah sendiri pada zatnya, dan orang yang
membaca Al-Quran tidak berhajat kepada kitab-kitab terdahulu yang
menjelaskannya. Berbeza dengan orang Nasrani contohnya, mereka memerlukan
kepada kitab Taurat untuk memahami hukum-hakam dalam agama mereka).
; kemudian beliau berkata lagi : (tetapi hadith-hadith
yang menceritakan tentang Israiliyyat ini disebutkan untuk sokongan bukannya
sebagai suatu pegangan).
Kesimpulan :
Berdasarkan kepada pendapat para Imam yang
disebutkan, kita membuat ulasan seperti berikut :
1. Boleh meriwayatkan kisah Israiliyyat yang selari
dengan syariat hanya sebagai sampingan bukan pegangan.
2. Boleh meriwayatkan kisah pada bahagian ketiga –
yang tidak disebutkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah – hanya sebagai i’tibar
seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah.
3. Tidak boleh meriwayatkannya pada perkara yang
bertentangan dengan ajaran agama – bahagian yang kedua – melainkan perlu ingkar
dan menjelaskan kesalahannya.
Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail
Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn
al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Al-Israiliyyat Wal Maudhu’at Fi Kutub At-Tafsir,
karangan Dr. Muhammad bin Abu Syahbah.
5. Al-Israiliyyat Wal Maudhu’at Wa Bida’ At-Tafasir
Qadiman Wa Hadithan, karangan Hamid Ahmad At-Tahir Al-Basyuni.
Sumber : pmram-manhal
No comments:
Post a Comment