SERBU...pegawai Jais menyerbu pengikut Syiah ketika mengikuti
eramah yang disampaikan seorang lelaki warga Iran, kelmarin.
eramah yang disampaikan seorang lelaki warga Iran, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Akibat terlalu taksub dengan fahaman
diikutinya, seorang pengikut ajaran Syiah mengukir kalimah Allah di lengan
tangannya sedangkan tindakannya menyimpang daripada ajaran Islam yang melarang
sebarang bentuk ukiran berupa tatu.
Lelaki itu antara 128 yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais) dalam serbuan ke sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Sri Gombak,
dekat sini, yang dipercayai menjadi kubu kuat pengikut ajaran Syiah di
Selangor, malam kelmarin.
Serbuan pada jam 10.15 malam itu disertai sepasukan polis
bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan berlaku sedikit
ketegangan apabila pengikut terbabit enggan bekerjasama.
Ketika penguat kuasa Jais hendak menahan pengikut lelaki
yang bertatu itu, dia langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, sebaliknya
tegar mempertahankan fahaman dianutinya dengan menceritakan kegiatan dijalankan
mereka.
Suasana bertambah tegang apabila seorang pengikut lain
bangun dan melaungkan selawat sambil disambut pengikut lain selama beberapa
minit.
Apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri, seorang
pengikut terbabit memarahi penguat kuasa Jais menyebabkan berlaku pertikaman
lidah.
Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang menyertai
operasi itu berkata, pihaknya percaya ketika serbuan ratusan pengikut Syiah
terbabit mengikuti ceramah khas yang disampaikan seorang lelaki warga Iran.
Menurutnya, ceramah itu diadakan bersempena tarikh 10
Muharam dalam kalendar Islam yang dianggap mulia oleh pengikut Syiah sebagai
memperingati kematian Saidina Husain.
“Keseluruhannya, kami menahan kira-kira 200 orang, namun 72
daripada mereka bayi dan kanak-kanak. Jadi hanya 128 individu dewasa yang
ditahan untuk diambil keterangan dan sebahagian besar daripada mereka lelaki.
“Jais sudah melakukan intipan selama dua tahun bagi mengumpul
bukti mencukupi sebelum melakukan serbuan ini dan penahanan lebih 100 orang
terbabit menjadikan ia tangkapan ajaran sesat terbesar di Selangor pada tahun
ini,” katanya.
Beliau berkata, Jais percaya daerah Gombak menjadi pusat
utama penyebaran Syiah di Selangor sedangkan fahaman itu sudah diwartakan
sebagai ajaran sesat di Selangor mengikut Seksyen 12 (C) 1995. Menurutnya,
fahaman Syiah lebih berbahaya daripada al-Arqam dan jika dibiarkan ia boleh
mengancam keselamatan negara dan perlu dibendung. “Bagi lelaki, tarikan seks
dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah
kerana fahaman ini menghalalkan nikah mutaah.
“Pengikut Syiah juga beranggapan membunuh Ahli Sunnah Wal
Jamaah halal dan dibenarkan, malah menjadi satu jihad kepada mereka.
“Selain itu, mereka turut mendewa-dewakan Saidina Ali
berbanding Nabi Muhammad s.a.w. Malah, ganjaran syurga menanti juga pengikut
Syiah yang melawat makam Saidina Husain,” katanya.
Mohammed Khusrin berkata, lebih membimbangkan apabila
pensyarah turut dikesan menjadi pengikut Syiah dan menyebarkannya kepada
pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.
Berikutan serbuan malam kelmarin, dua lelaki termasuk
seorang warga Iran dihadapkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang,
Selangor, bagi mendapatkan perintah jaminan.
Hakim Syarie Saiful Azli Jamaludin membenarkan kedua-duanya
dijamin RM2,000 setiap seorang dan pasport antarabangsa warga Iran itu diarah
diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.
Pada prosiding semalam, tiada pertuduhan dibacakan terhadap
mereka dan Saiful Azli menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan kes berkenaan.
Di luar mahkamah, lebih 20 lelaki dipercayai pengikut Syiah
hadir untuk memberi sokongan kepada kedua-dua individu terbabit yang dipercayai
pemimpin mereka.
Sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment