Penulisan Popular

Monday, December 27, 2010

Moscow alami hujan batu

 Penumpang berpusu-pusu di luar Lapangan Terbang Domodedovo dekat Moscow bagi menunggu kenderaan ekoran lapangan terbang itu ditutup selepas bandar raya Moscow dilanda hujan batu, kelmarin. – REUTERS

MOSCOW 27 Dis. – Bandar raya Moscow dilanda hujan batu mengakibatkan beribu-ribu penumpang penerbangan terkandas dan setengah juta penduduknya terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik.


Lapangan terbang terbesar Moscow, Domodedovo di selatan bandar raya ini beransur pulih setelah ditutup selama 12 jam semalam, setelah mengalami gangguan bekalan elektrik, sementara sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa utamanya, Sheremetyevo mengalami kelewatan jadual penerbangan yang teruk.

Perdana Menteri, Vladimir Putin mengarahkan Menteri Situasi Kecemasan, Sergei Shoigu membuat ‘segalanya yang anda boleh dan mengarahkan setiap unit agar bersiap-sedia untuk meredakan keadaan di lapangan terbang dan pengangkutan’.

Akhbar-akhbar melaporkan keadaan huru-hara yang berlaku di negara-negara Eropah pada awal bulan ini akibat salji tebal, tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa Rusia menangani krisis itu.

“Ibu negara dan kawasan persekitarannya ternyata tidak bersedia menghadapi cuaca ini,” kata akhbar Moskovsky Komsomolets.

Seramai 27 orang mengalami kecederaan di sini setelah dihempap pokok yang tumbang akibat dahannya sarat dengan ais.

Putin berkata, seramai 412,000 penduduk terpaksa bergelap kerana gangguan bekalan elektrik di Moscow dan beberapa kawasan lain di tengah Rusia meskipun jumlah itu berkurangan kepada 121,000 orang lewat malam semalam. – AFP

No comments:

Post a Comment