Penulisan Popular

Monday, December 20, 2010

Pembedahan tukar sendi untuk kehidupan lebih selesa

Masalah sakit sendi boleh diatasi dengan melakukan pembedahan menukar sendi.

BOTOL minyak angin akan dicapai dan disapu pada bahagian yang sakit apabila seseorang itu mengalami lenguh-lenguh atau kesakitan pada tulang, sendi atau otot.

Jika penggunaan minyak angin tidak menyembuhkan dan kecederaan atau kesakitan nampak lebih memudaratkan, si tukang urut pula yang akan dicari sebagai ikhtiar.

Berbeza dengan mereka yang mengalami kemalangan serius sehingga mengakibatkan patah tulang atau tulang terkehel, orang pertama yang akan dicari mangsa ialah doktor atau pakar ortopedik.

Pada saat-saat genting seperti itu, hampir semua mangsa kemalangan percaya doktorlah satu-satunya insan yang tahu bagaimana keadaan tulang yang tersembunyi di dalam badan mereka seterusnya mampu memberi rawatan sepatutnya.

Pendek kata, pada waktu krikital sesiapa pun tidak akan memikirkan tentang kesakitan yang akan ditanggung apabila tulang mereka diperlakukan sesuatu oleh doktor.

Sebenarnya, bidang ortopedik di Malaysia tidak hanya terhad kepada rawatan trauma (kemalangan) ortopedik semata-mata, sebaliknya merangkumi setiap cabang ilmu berkaitan tulang, rangka, otot dan sendi.

Justeru, tiada sebab untuk masyarakat di Malaysia berasa ragu-ragu atau takut untuk mendapatkan rawatan di hospital walaupun mereka mengalami kesakitan atau kecederaan kecil pada bahagian tulang.

“Bidang spina dan sendi cukup maju di Malaysia, setanding dengan negara maju lain di dunia. Kita ada cukup tenaga pakar, malah ramai di antaranya yang berpengalaman luas. Mereka ada kemahiran dan cukup terlatih untuk merawat dan membuat pembedahan,” kata Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Trauma Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Gobinder Singh (gambar) kepada Mingguan mStar.

Dr. Gobinder yang sudah 11 tahun berkhidmat di hospital swasta itu tidak menafikan bahawa di Malaysia rawatan terhadap tulang majoritinya dilakukan terhadap mereka yang terbabit dengan kemalangan atau yang tercedera ketika bersukan semata-mata.

Padahal, dalam masa yang sama kebanyakan rakyat Malaysia terutama yang berusia 50 tahun ke atas sering mengalami sakit-sakit sendi dan memerlukan rawatan pemulihan.

“Kebanyakan masyarakat kita memandang ringan masalah kesakitan tulang dan sendi yang biasanya dialami. Kebanyakan mereka yang datang ke hospital dan dihantar ke unit ini adalah mereka yang terbabit dengan kemalangan jalanraya dan mengalami kecederaan tulang yang teruk sahaja.

“Kalau sakit-sakit biasa, mereka hanya membiarkan ia terus sakit atau mendapatkan rawatan alternatif di tempat lain berbanding berjumpa doktor,” katanya.

Hal ini berbeza dengan kelompok yang sama di Amerika Syarikat (AS) yang mana kebanyakan warga emas di sana sanggup menjalani rawatan tulang dan sendi bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Statistik juga menunjukkan pada tahun ini sahaja seramai 500,000 penduduk di AS telah membuat pembedahan tulang, termasuklah pembedahan untuk menukar sendi.

“Ini bererti, sepatutnya 50,000 penduduk Malaysia melakukan pembedahan yang sama, tetapi kita tidak mencapai jumlah itu. Di sana (AS), mereka mahu bergerak, berjalan dan menjalankan rutin seperti biasa selagi mereka masih hidup, walaupun usia mereka telah meningkat” katanya.
Pembedahan tukar sendi biasanya perlu dilakukan terhadap seseorang yang berusia 50 tahun ke atas dan mengalami kesakitan terutama di bahagian lutut sehingga membataskan pergerakan pesakit.

Tanda-tanda seseorang itu mengalami masalah pada tulang sendi termasuklah berasa sakit di bahagian sendi, bengkak-bengkak dan struktur tulang kelihatan tidak normal.

Selain kesakitan di bahagian lutut, bahagian lain seperti pinggul, bahu siku dan buku lali juga sering dialami mereka yang sudah lanjut usia.

Kos, takut dibedah

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga menjelaskan, selain faktor sikap dan kurang kesedaran terhadap keperluan mempunyai tulang dan sendi yang sihat, salah tanggapan terhadap kos pembedahan turut menjadi alasan untuk tidak mendapatkan rawatan di hospital.

“Di Malaysia, dapat saya katakan kos pembedahan masih di tahap sederhana, malah lebih murah jika dibandingkan dengan Singapura dan hospital-hospital swasta di Indonesia,” jelasnya.

Kos sebanyak RM25,000 - RM27,000 untuk pembedahan tersebut yang dianggarkan untuk menjalankan pembedahan tersebut nyata sekali tidak seberapa nilainya jika dibandingkan dengan nikmat menjalani hidup yang lebih selesa dan sihat pada usia emas.

Menurut Dr. Gobinder, hampir semua pesakit berusia 60 tahun ke atas yang mengalami sakit lutut berpunca daripada tulang sendi dan tulang rawan yang haus.

“Kita akan ganti tulang yang haus itu dengan tulang palsu yang diperbuat daripada besi. Bentuknya sama dengan tulang asal dan dapat berfungsi seperti tulang biasa,” kata sambil memberitahu tulang palsu tersebut mampu bertahan selama 20 tahun di dalam badan manusia.

Pun begitu katanya, tidak semua masalah seumpama itu memerlukan pembedahan.

“Semuanya bergantung pada kecederaan. Selepas pesakit diperiksa, kita akan lihat pelan rawatan yang sesuai untuk mereka. Ada pesakit yang hanya perlu makan ‘glucosamine’ iatu makanan tambahan yang baik untuk kesihatan tulang,” katanya.

Beliau berkata, pesakit juga tidak perlu bimbang dengan kesakitan yang akan dihadapi sekiranya mereka mahu menjalani pembedahan yang mengambil masa kira-kira dua jam ini.

“Pesakit akan merasai kesakitan minimum selepas dibedah tetapi tidak akan berasa sakit ketika sedang menjalani pembedahan.

Kesan sampingan juga tiada, tetapi mereka tidak boleh terlalu lasak dan tidak digalakkan duduk bersila,” katanya.

Faktor utama yang menyebabkan berlaku kerosakan sendi terutama sendi lutut disebabkan genetik, berat badan berlebihan dan kurang senaman.

Fisioterapi

Hospital Pantai merupakan satu-satunya hospital di negara ini yang mempunyai unit fisioterapi sendiri di Jabatan Spina Dan Sendi.

Ditubuhkan pada tahun 2009, hospital yang mempunyai dua pakar spina dan tiga pakar sendi ini bersedia membantu pesakit yang menghadapi masalah spina dan sendi.

Tertubuhnya unit fsioterpai ini, masalah yang lebih spesifik juga dapat dirawat di sini tanpa pesakit menunggu lebih lama.

“Kita ada fisioterapi sendiri untuk rawatan serta-merta. Selepas pembedahan, mereka boleh datang ke unit fisioterapi ini dan pakar-pakar akan melihat masalah atau komplikasi yang mungkin berlaku terhadap seseorang pesakit yang baru dibedah,” katanya.

Selain pembedahan menukar sendi lutut yang haus, rawatan dan kaedah lain yang ditawarkan untuk menyembuhkan pesakit termasuklah penyambungan ligamen dan memasukkan besi di dalam tulang yang dipanggil ‘interlocking nail’.

Mempunyai ramai tenaga pakar ditambah pula dengan pengalaman yang luas, tiada sebab untuk masyarakat Malaysia berasa ragu-ragu untuk mendapatkan khidmat doktor dan pakar bedah dalam negara.

Ortopedik yang berhubung rapat dengan spina dan sendi juga merangkumi satu bidang yang cukup luas, sekali gus menepis tanggapan masyarakat bahawa bidang ini lebih tertumpu kepada trauma ortopedik semata-mata.

Sumber: Mstar Online

No comments:

Post a Comment